Rosmah mohon pasport sementara ke Singapura

DATIN Seri Rosmah Mansor sekali lagi memohon Mahkamah Rayuan untuk pelepasan sementara pasportnya agar dia boleh ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa Najib.

Peguamnya Datuk Akberdin Abdul Kader baru-baru ini mengesahkan dengan Malaysiakini berhubung pemfailan permohonan itu pada 2 Jun lalu.

Pada masa ini, pasport Rosmah ditahan mahkamah sementara permohonannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kes rasuahnya berjalan.

Pelepasan sementara pernah diberikan kepadanya pada 15 Oktober 2021 untuk Rosmah ke Singapura ketika Nooryana bersalin serta pada 21 Mac tahun ini untuk dia melawat Nooryana dan cucunya yang tidak sihat.

Menurut permohonan terbaru ini, Rosmah memohon pelepasan semantara untuk di ke Singapura pada 6 Jun hingga 7 Julai tahun ini.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonan itu, Rosmah mendakwa dia ingin melawat Nooryana yang kini tinggal di republik itu bersama-sama suaminya, Daniyar Kessikbayev.

“Atas dasar ini, saya dengan rendah diri ingin memohon kepada mahkamah suatu kebenaran untuk membenarkan pasport antarabangsa saya diambil oleh saya untuk membolehkan saya menggunakannya bagi melawat anak perempuan saya dan keluarganya di Singapura,” katanya.

Katanya lagi, dia telah dinasihati peguamnya bahawa permohonan itu dibuat secara teratur dan pihak pendakwaan tiada sebarang bantahan berdasarkan surat-menyurat antara pendakwaan dan peguamnya yang bertarikh 26 Mei dan 1 Jun lalu.

“Saya sedar akan natijah sekiranya saya ingkar dan/atau enggan menuruti perintah mahkamah untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan.

“Saya sehingga hari ini tidak pernah gagal dan/atau cuai untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan tanpa sebab dan/atau alasan yang munasabah,” katanya lagi, lapor MalaysiaKini.

Rosmah juga berjanji akan menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah, selewat-lewatnya seminggu setelah dia pulang dari Singapura nanti.

Malaysiakini sedang menghubungi pihak pendakwaan berhubung permohonan ini.

Permohonan ini dijangka akan didengar di Mahkamah Rayuan esok.