Motosikal langgar kerbau, penunggang maut, tiga lagi cedera

0
239

SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sekawan kerbau di Jalan Sungai Kroh-Kampung Gajah dekat Air Kuning, dua hari lepas.

Mohamad Haddrie Naim Azmi, 20, yang sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Gajah menuju ke Air Kuning, meninggal dunia di lokasi kejadian pada kira-kira pukul 1.30 pagi akibat kecederaan parah di kepala susulan kemalangan itu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata semasa Mohamad Haddrie melalui kawasan gelap itu bersama tiga rakannya, mereka tidak nampak kelibat sekawan kerbau yang berada atas jalan raya, mengakibatkan keempat-empat mereka merempuh kawanan kerbau itu.

Beliau berkata lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala tiga lagi rakannya yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan.

Dalam kenyataan di sini hari ini Mohd Yusri berkata masalah haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran di jalan negeri dan persekutuan perlu ditangani demi keselamatan pengguna jalan raya, dan polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemilik haiwan ternakan jika didapati sengaja melepaskan haiwan hingga mengakibatkan kemalangan boleh didakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam atau kecuaian berkaitan haiwan malah boleh dihukum penjara enam bulan dan denda RM2, 000 atau kedua-duanya sekali,“ katanya.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here