Bekas pemain JDT hijrah ke Makkah

0
452

PEMAIN bola sepak yang pernah menyarung jersi kebangsaan, Selangor dan Johor Darul Takzim (JDT) Asraruddin Putra Omar, kini berhijrah ke Makkah untuk memenuhi impiannya menetap di Tanah Suci.

Keputusan itu dibuat atas kehendak diri sendiri yang mahu mendalami ilmu agama dan mencari ketenangan hidup di bumi barokah tersebut.

Asraruddin, 35, banyak berkongsi kisahnya yang tidak banyak diketahui umum semasa pertemuan di tempat tinggal dia di Bukit Ajyad, sebuah perkampungan Melayu yang jaraknya kira-kira 3 kilometer dari Masjidil Haram.

Menyingkap kembali bagaimana dia boleh membuat keputusan yang cukup besar dalam kehidupannya, Asraruddin berkata, semuanya bermula apabila dia tidak lagi dapat bermain bersama JDT kerana kecederaan dialami.

“Saya dah cuba untuk bermain tapi tidak boleh kerana kecederaan lutut kiri ini tidak boleh kena ‘impact’ berterusan ketika perlawanan. Mungkin itu perancangan terbaik Allah untuk saya.

“Pada mulanya saya agak terkejut kerana semua orang tahu pendapatan di JDT memang lumayan dan selepas alami kecederaan saya hilang pendapatan dan tidak boleh berlari seperti biasa,” katanya.

Ditakdirkan bertemu dengan seorang rakan yang menguruskan syarikat pelancongan, Asraruddin kemudiannya berjaya menjejakkan kaki buat kali pertama ke Tanah Suci pada 2021.

“Oleh kerana saya berminat untuk menjadi ‘sleeping partner’ bisnes dalam agensi pelancongan itu, kehadiran ke bumi Makkah buat pertama kali pun saya tinggal kira-kira sebulan.

“Kemudian kali kedua saya tinggal lebih lama, berpuasa dan sambut raya kerana berada di sini amat seronok – satu perasaan yang sudah lama saya idamkan,” katanya.

Kata anak kelahiran Kuala Selangor itu, apabila hati sudah mula terpaut di Makkah, dia mula mencari peluang untuk tinggal lebih lama di kota kelahiran Nabi Muhammad SAW.

“Saya dapat berjumpa dengan rakyat Malaysia yang tinggal Bukit Ajyad ini dan mereka membantu saya untuk menyewa rumah di sini,”katanya.

Dalam proses untuk berada di Makkah, Asraruddin kemudian bertemu jodoh dengan seorang jururawat, Tengku Nurliyana Tengku Azlan, 35, yang berasal dari Gong Badak, Terengganu.

“Isteri saya sudah sembilan tahun berkhidmat di Hospital King Abdulaziz, Jeddah dan kami baru saja selesai majlis perkahwinan di Shah Alam pada 13 Mei lalu.

“Alhamdulilah dengan perkahwinan ini, ia menguatkan lagi tujuan untuk tinggal di sini dan keluarga saya bertambah yakin dengan penghijrahan saya,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Asraruddin berdoa perancangannya untuk mempunyai anak yang lahir di Makkah dan seterusnya mengakhiri hayat di bumi barokah itu akan tercapai.

“Buat masa ini saya akan fokus kepada kelas pengajian agama kerana setiap kali saya mencari ilmu, makin banyak yang saya ingin tahu daripada guru-guru di sini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai karier bola sepak, pemain yang pernah diterima untuk menghadiri sesi percubaan dengan kelab Belanda – PSV Eindhoven tidak menolak jika kelab di Arab Saudi berminat dengan khidmatnya.

“Saya akui masalah komunikasi sebenarnya akan menjadi kesukaran untuk beraksi di Makkah, namun bagi saya bahasa bola sepak sebenarnya mudah untuk difahami oleh pemain-pemain.

“Namun dalam usia begini dan kecederaan dialami saya tidaklah terlalu berharap, tetapi jika ada tawaran boleh difikirkan,” katanya.

Mengulas mengenai kedudukannya di pasukan amatur Kelana United FC, Asraruddin berkata, dia mendapat pelepasan daripada pasukan itu dan mereka sedia menerima jika mahu kembali.

Menyingkap rekod kariernya, Asraruddin pernah membantu Malaysia menjulang Piala AFF 2010 serta pingat emas Sukan SEA 2009 ketika di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal dan telah mengumpul 25 kaps bersama Harimau Malaya.

Untuk Selangor, Asraruddin bermain dari 2007 hingga 2013 dan ketika bersama JDT berjaya meraih kejuaraan Liga Super sebanyak tiga kali iaitu pada 2014, 2015 dan 2016.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here