Isu LCS: AMK tempelak Syed Saddiq

0
150

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menempelak kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa penolakan usulnya bagi membincangkan isu kapal tempur pesisir (LCS) baru-baru ini adalah kerana dilihat bukan berkepentingan orang ramai.

AMK menegaskan, seperti yang dijelaskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, laporan berkaitan projek pembinaan LCS dibentangkan di Parlimen setiap tiga bulan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengikut ketetapan.

“Usul Syed Saddiq tersebut hakikatnya ditolak disebabkan kerana tidak lengkap,” menurut AMK dalam satu hantaran dalam Facebook hari ini.

Menurut sayap tersebut, Syed Saddiq dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggambarkan seolah-olah Dewan Rakyat dan kerajaan telah secara tidak langsung mengelak dan melindungi siasatan LCS.

“Tindakan Syed Saddiq Muda secara terus menerus menyebarkan kenyataan separa benar yang memburukkan kerajaan secara tidak adil adalah perkara yang harus diteliti dan ditegur oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Sayap itu turut menambah, tindakan Syed Saddiq itu menjadi isyarat buat Pakatan Harapan (PH) untuk berhati-hati membuat penilaian bagi menerima parti tersebut ke dalam gabungan berkenaan.

Projek LCS adalah perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

Projek itu mendapat perhatian banyak pihak pada tahun lalu selepas PAC mendedahkan tiada satu pun kapal disiapkan walaupun kerajaan sudah membelanjakan RM6.08 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here