Bola oh bola! TFC mangsa terbaharu kelemahan pengadil?

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SEJAK dari dahulu lagi, isu mutu pengadilan dan kelemahan pengadil yang ditugaskan mengawal perlawanan bola sepak membabitkan liga di Malaysia menjadi rungutan bukan sahaja para peminat, tetapi juga dalam kalangan pengawai pasukan kelab di negara ini.

Malah, beberapa tahun lalu, berpunca daripada kelemahan pengadil pernah berlaku perkara tidak diingini termasuk rusuhan oleh para penyokong tuan rumah.

Di Terengganu penulis masih ingat peristiwa pembakaran bas penyokong Negeri Sembilan berhampiran Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu sekitar tahun 1980an gara-gara para penyokong tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Begitulah bola sepak yang merupakan antara sukan paling berpengaruh dan diminati ramai di dunia ini.

Memandangkan bola sepak sentiasa menjadi tumpuan dunia, ada ketikanya ia juga dilihat boleh bertukar menjadi ganas dan bahaya.

Maka itu, sekiranya tidak diberikan kawalan rapi ia mampu mencetuskan keganasan serta mengorbankan nyawa manusia.

Berdasarkan itulah, Persatuan Bola Sepak Dunia (FiFA) sentiasa mencari kaedah terbaik termasuk mengadakan pelbagai peraturan tertentu bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini khususnya melibatkan para penyokong.

Bagaimana pun di Malaysia, sejak kebelakangan ini semakin banyak kelab yang meluahkan rasa tidak berpuas hati mengenai mutu pengadilan yang ditugaskan mengadili sesuatu perlawanan.

Mengikut laporan, sepanjang perlawanan Liga Super musim ini beberapa buah kelab termasuk pegawai dan juru Latih terbabit pernah meluahkan kekesalannya terhadap perkara tersebut.

Antaranya termasuk pasukan Kedah, Sabah, Kuala Lumpur dan terbaharunya ialah Terengganu FC (TFC).

Di dalam perlawanan Liga Super antara TFC dengan Johor Darul Takzim (JDT) yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus pada Jumaat lalu, ianya hampir tercetus kejadian tidak diingini.

Ini gara-gara penyokong tuan rumah naik berang dan tidak berpuas hati dengan kelemahan dan mutu pengadilan yang ditugaskan mengawal perlawanan berkenaan

Banyak pihak termasuk pengulas sukan tanah air dan para penyokong TFC menyifatkan perlawanan antara TFC dan JDT sepanjang masa pertama amat menghiburkan dan dilihat sebagai seimbang walaupun sepanjang 45 minit pertama tuan rumah ketinggalan 1-2.

Namun, selepas berlakunya insiden dua layangan kad merah yang dikeluarkan oleh pengadil Mohd. Fusser Mad Sallih ke atas pemain TFC, Argzim Redzovic dan Ivan Mamut aksi dan tempo perlawanan telah berubah.

Ekoran kad merah tersebut para penyokong tuan rumah yang marah mula mencemuh pengadil.

Rata-ratanya menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak wajar kerana kekasaran dilakukan pemain dikatakan tidak terlalu keras berbanding pemain JDT yang dikatakan lebih banyak ‘berlakon’ serta merebahkan badan apabila bersentuhan dengan pemain Terengganu.

Justeru, penyokong Terengganu mendakwa pengadil terbabit telah menyalahkan kuasanya dengan berpihak kepada JDT.

Mereka berpendapat pengadil sepatutnya memberi amaran, bukan terus ‘menghukum’ dengan perintah keluar padang.

Sementara itu, tinjauan menerusi Facebook TFC mendapati rata-rata netizen memaki hamun dengan menulis perkataan kesat ke atas pengadil.

Ada yang mendakwa seakan sudah menjadi lumrah mana-mana pasukan yang menetang JDT akan berhadapan dengan masalah mutu pengadilan, pengadil berat sebelah.

Selain itu, kebanyakan pasukan lawan juga dikatakan sentiasa dibolosi dengan tendangan penalti.

Seorang netizen yang menggunakan nama Saidi meminta Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat perkara tersebut.

Pada masa yang sama netizen turut mencadangkan kepada FAM supaya mengambil tindakan sewajarnya ke atas Mohd. Fusser.

Seorang lagi netizen yang mengguna nama Din pula mencadangkan agar FAM mengambil pengadil import bagi mengadili perlawanan bola sepak Liga Super khususnya apabila perlawanan membabitkan JDT.

Presiden kelab penyokong TFC, Mohd. Isa Che Ariffin pula menggesa pengurusan skuad ‘Penyu’ mengemukakan bantahan kepada FAM) dan menuntut badan induk itu menghukum pengadil terbabit.

Dalam perlawanan tersebut, penyerang JDT, Fernando Forestieri menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-20 sebelum pemain sayap TFC, Sony Norde menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 28.

Namun, Bergson Da Silva kemudian menjaringkan gol kedua pasukannya menerusi sepakan penalti pada minit ke-38 sebelum Endrick Dos Santos menyumbat gol ketiga JDT seminit sebelum wisel penamat ditiupkan. – SB