‘Dokumen ada satu beg, nanti saya fotostat bagi salinan’ – Sanusi

0
165

 “BIASALAH siasat di dunia, siasat di akhirat lagi teruk,” tegas Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai siasatan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataannya yang mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), berkata rakaman kenyataannya berkemungkinan akan dibuat pada sebelah petang di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman.

“Bukit Aman datang jumpa biasalah, mereka buat kerja mereka, saya buat kerja saya, jadi adillah.

“Saya tak tahu mereka (polis) nak datang jam berapa, saya kena hadiri Mesyurat EXCO dahulu, mungkin lepas itu (dibuat rakaman kenyataan),” katanya ketika ditemui di pintu masuk utama Wisma Darul Aman pagi ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dilihat masuk ke Wisma Darul Aman menaiki kenderaan rasminya pada jam 10.58 pagi dengan beliau dijadual mempengerusikan Mesyuarat EXCO pada sebelah pagi.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau sedia disiasat dan akan menyediakan segala dokumen berkaitan kenyataannya bagi diserahkan kepada pihak polis.

“Siasat di dunia ini biasa saja, apa yang saya boleh dedahkan, saya akan dedahkan, dokumen ada satu beg saya bawa.

“Nanti saya fotostat bagi seorang satu salinan. Lawaklah dunia ini,” katanya lapor BH.

Semalam, Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin memaklumkan polis akan merakam keterangan Muhammad Sanusi hari ini, berhubung kenyataannya mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.

Rakaman kenyataan itu akan dibuat di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman oleh pegawai penyiasat Bukit Aman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here