Hanya Melayu mudah lupa bersama PH – Hadi Awang

0
191

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa golongan Melayu yang menyertai Pakatan Harapan (PH) adalah Melayu yang mudah lupa khususnya dalam kalangan pemimpin.

Katanya, banyak kenyataan golongan itu sebelum menjadi kerajaan dilupakan sejurus selepas menjadi kerajaan.

“Antara yang terawal ialah kenyataan bersemangat yang dilaungkan oleh pemimpin Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), berulang kali di hadapan para perwakilan dari seluruh negara. Laungan yang diulangi, ‘no DAP! No Anwar!’.

“Kini, pemimpin Umno pula bersekongkol dengan mereka yang dilaungkan itu dengan penuh mesra dan akrab, malah membuat kenyataan untuk bersama dalam pilihan raya negeri (PRN) sehingga membelakangi dasar dan perjuangan parti.

“Adapun kalangan PKR pula berdegar-degar dengan laungan ‘reformasi’ dan berjuang ingin menghapuskan rasuah, salah laku, kronisme, nepotisme, dan lain-lain. Rupa-rupanya, apa yang mereka lakukan itu laksana lakonan semata-mata,” katanya dalam tulisan Minda Presiden, yang disiarkan di Facebook hari ini.

Kenyataan ahli Parlimen Marang itu dilihat sebagai merujuk kerjasama antara PH dan BN dalam membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum ke15 (PRU15) tahun lalu.

Dia turut mendakwa bahawa banyak janji kepada rakyat sebelum pilihan raya ditaburkan sama ada secara tulisan ataupun ucapan.

“Selepas berjaya mengambil alih kerajaan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, semua janji dan ucapan itu tenggelam dimakan masa. Melayu yang mudah lupa bersamanya terus menyambung perjuangan yang sama.

“Perbuatan buruk mereka itu berkekalan sehinggalah mereka mengambil alih kerajaan selepas PRU15 dengan sokongan Melayu yang mudah lupa juga. Keadaan yang sama masih terus berulang dengan kenyataan-kenyataan yang dinafikan kemudiannya,” kata Abdul Hadi, lapor MalaysiaKini.

Mengulas lanjut bekas duta khas mewakili perdana menteri ke Timur Tengah itu berkata timbul kenyataan bahawa mereka (PH-BN) mengajak PAS untuk sama-sama menyertai Kerajaan Perpaduan yang dipimpin mereka, tanpa menghormati bahawa Perikatan Nasional (PN) didominasi oleh Melayu Islam Bumiputera dengan 74 kerusi.

“Adapun PH didominasi oleh bukan Islam, dengan kalangan liberal PKR adalah sebanyak 30 kerusi (19 orang Melayu Islam dan Islam liberal manakala 11 orang nyata bukan Melayu dan bukan Islam), bersama DAP sebanyak 40 kerusi dengan tiga orang daripadanya adalah Melayu.

“Selepas itu, mereka menghantar broker pula untuk memujuk sama ada dari dalam negara mahupun luar negara. Maka, PN khususnya PAS menolak semua tawaran dan menolak segala janji yang tidak boleh dipercayai, kerana PAS ialah Melayu yang tidak lupa,” dakwa Abdul Hadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here