Budak redah api menjulang selamatkan bayi dalam kebakaran

0
191

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG budak berusia 12 tahun boleh boleh dianggap wira kerana meredah api menyelamatkan seorang bayi daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Parit Suratman, Parit Yaani, Batu Pahat semalam.

Nor Azmi Khairul Azri, sanggup bergadai nyawa menyelamatkan bayi berkenaan yang juga adiknya, Haziq, dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari.

Dia nekad bertindak demikian selepas ibunya, Nor Izura Maat, 36, menyedari adiknya itu masih berada dalam rumah selepas semua ahli keluarga sudah keluar menyelamatkan diri.

Api marak dengan cepat di rumah kanak-kanak terssebu di Kampung Parit Suratman, Parit Yaani, Batu Pahat semalam

Menceritakan detik cemas itu, abangnya, Hazman, 14, yang melecur di kedua-dua tapak kaki berkata, dia terlebih dahulu keluar dan ibunya menyelamatkan barangan lain dalam rumah itu.

“Ketika itu, barulah ibu teringat adik masih dalam rumah dan Nor Azmi segera masuk meredah api sedang menjulang lalu mendukung adik keluar. Saya tidak boleh berlari lagi ketika itu kerana tapak kaki sudah melecur.

“Pada masa kejadian, ibu menjerit supaya kami keluar menyelamatkan diri manakala Haziq berada di ruang tamu. Masing-masing ketika itu dalam keadaan kelam-kabut hingga terlupa adik masih lagi berada dalam rumah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Hamzan dan ibunya melecur kedua-dua tapak kaki kerana terpijak tikar getah panas manakala Nor Azmi hanya cedera di ibu jari kakinya.

Anggota bomba memadam kebakaran rumah berkenaan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.35 petang semalam

Pelajar Tahfiz Darul Qura itu berkata, sebelum kejadian dia bersama adik yang lain berada di rumah dan terhidu bau asap.

“Saya ternampak warna kemerahan dari bilik saya dan belum sempat membuka pintu, api sudah menjulang. Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana api marak begitu cepat.

“Mujurlah semua ahli keluarga kami selamat walaupun rumah pusaka ini musnah sama sekali. Kami reda dengan kejadian itu dan menganggap ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Sepupu Nor Azmi iaitu Khairul Hamim melihat keadaan rumah ibu saudaranya yang musnah dalam kebakaran

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof berkata, 18 anggota dari BBP Yong Peng dan BBP Penggeram dikejarkan ke tempat kejadian.

Anggota berkenaan katanya, dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Kedua-dua mangsa yang melecur dihantar oleh ambulans ke hospital. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi tamat pada pukul 3.35 petang,” katanya dalam kenyataan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here