Rumah panjang terbakar: 76 penghuni terjejas menjelang Gawai

0
226

SERAMAI 76 penghuni Rumah Selunsin, Pakan dalam Bahagian Sarikei, kira-kira 60 kilometer dari Sibu, berdepan dugaan menjelang sambutan Hari Gawai Dayak pada Khamis depan apabila rumah panjang didiami mereka musnah dalam kebakaran hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata akibat kejadian tersebut juga kesemua persiapan akhir penghuni rumah panjang 15 pintu itu untuk menyambut Gawai turut terkesan.

Katanya kesemua penghuni rumah panjang dua tingkat itu berjaya menyelamatkan diri. 

“Mengikut maklumat awal kebakaran bermula dari kawasan tengah rumah panjang tersebut. Punca dan jumlah kerugian sebenar kebakaran itu sedang dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, sebaik sahaja menerima panggilan kebakaran itu pada jam 10.36 pagi, pasukan dari BBP Bintangor dengan kekuatan lapan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian. 

Katanya akibat kebakaran itu, ruang hadapan (ruai dan bilik tidur tingkat atas) terbakar 100 peratus manakala bahagian belakang (ruang tengah dan dapur) berjaya diselamatkan.

“Anggaran kebakaran adalah 80 peratus secara keseluruhannya,” katanya. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here