PRN P Pinang: MIC intai kerusi Perai, Seri Delima, kata sumber

0
124

MIC sedang mengintai kerusi DUN Perai dan Seri Delima pada PRN akan datang, menurut sumber parti.

Sumber yang enggan dinamakan itu berkata, MIC berminat dengan Perai kerana DUN itu selama ini menjadi kubu tradisi. Pemimpin seperti Rajapathy Kuppusamy dan mendiang V Muthusamy berkhidmat untuk masyarakat India di sana selama empat penggal dari 1991 hingga 2008.

P Ramasamy daripada DAP menjadi Adun Perai sejak 2008, manakala Syerleena Abdul Rashid hampir tamat penggal pertamanya mewakili Seri Delima.

“Memandangkan Syerleena sudah menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera, kerusi (Seri Delima) mungkin akan kosong, jadi mengapa kita tidak cuba?” kata sumber.

Beliau berkata, parti itu akan berpuas hati dengan satu kerusi, sambil menambah MIC tidak boleh dibiarkan tangan kosong “supaya kerajaan perpaduan mempunyai makna”.

Jika dinafikan peluang meletakkan calon, katanya, ahli parti, termasuk di negeri lain, mungkin kecewa dan enggan membantu kempen parti lain dalam kerajaan perpaduan.

“Apa yang ahli parti di Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor akan fikir jika kita tidak ditawarkan kerusi di Pulau Pinang?

“Kepimpinan parti masih akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan, tetapi saya tidak tahu akar umbi parti akan berbuat demikian.

“Bagaimanapun, jika parti dibenarkan bertanding di Pulau Pinang, ahli parti akan gembira dan jentera akan memberikan komitmen sepenuhnya,” katanya.

Ditanya mengapa PH Pulau Pinang perlu menyerahkan kerusinya kepada MIC, beliau berkata, langkah itu adil memandangkan parti itu telah berikrar memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata “kompromi” adalah perlu kerana Barisan Nasional adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan, dan PH mesti meyakinkan ahlinya untuk menyokong calon MIC.

Tarik undi masyarakat India

Sumber itu berkata, MIC perlu menyeru akar umbinya untuk mengundi calon kerajaan perpaduan di Pulau Pinang bagi mengatasi gelombang hijau Perikatan Nasional di negeri itu.

Atas sebab itu, katanya, BN dan PH mesti memastikan mereka mendapat keseluruhan undi kaum India.

“Untuk itu (berlaku), pemimpin India daripada parti kerajaan perpaduan mesti bekerjasama untuk memastikan calon mereka mendapat 100% undi orang India.”

Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor dijangka mengadakan PRN selepas Jun.

Pada 25 Mei, FMT memetik Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebagai berkata, MIC dan MCA terlibat dalam pusingan kedua rundingan kerusi antara gabungan itu dan BN. MCA dilaporkan telah melobi untuk mendapatkan kerusi di negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here