TNB berjaya ketepi perintah bayar ganti rugi RM4 juta

0
149

TENAGA Nasional Bhd (TNB) berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya membayar ganti rugi RM4 juta kepada sebuah syarikat pembuatan keluli, kerana didakwa berlaku kecuaian berhubung gangguan bekalan elektrik ke kilang itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk M Gunalan membenarkan rayuan TNB untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas memutuskan TNB tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap tuntutan syarikat Southern Steel Berhad (SSB).

Mahkamah juga mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya UEM Construction Sdn Bhd membayar pampasan kepada TNB berjumlah RM2 juta berhubung liabiliti TNB kepada SSB.

Dalam alasan penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh 3 Mei tahun ini, Hakim Datuk Abu Bakar berkata, tuntutan ganti rugi SSB bagi tort kecuaian tidak boleh bertahan berdasarkan kerugian ekonomi semata-mata.

“Melihat kepada rayuan itu, tidak dapat dinafikan relif yang dipohon oleh SSB bukan untuk kerugian kewangan akibat kerosakan fizikal terhadap harta benda SSB,” katanya sambil menambah mahkamah akan mempertimbangkan untuk membenarkan ganti rugi kepada SSB jika syarikat itu memohon kerosakan fizikal akibat gangguan bekalan elektrik.

Hakim Abu Bakar berkata, TNB tidak mempunyai kewajipan untuk membayar ganti rugi RM4 juta kepada SSB.

Beliau juga berkata, memandangkan TNB tidak bertanggungjawab terhadap SSB, perintah Mahkamah Tinggi terhadap UEM Construction untuk memberi pampasan kepada TNB juga perlu diketepikan.

Panel itu juga menolak rayuan SSB terhadap kuantum ganti rugi yang diberikan kepada mereka oleh Mahkamah Tinggi. SSB telah menuntut lebih RM8 juta ganti rugi am dan/atau ganti rugi khas terhadap TNB.

SSB memfailkan saman terhadap TNB mendakwa syarikat utiliti itu gagal membekalkan elektrik ke premis kilangnya dalam tempoh seminggu dari 26 Ogos 2008 hingga 1 Sept 2008.

Syarikat itu mendakwa mereka tidak dapat menghasilkan keluli dan mengalami kerugian akibat gangguan elektrik.

Sementara itu, TNB menamakan UEM Construction sebagai pihak ketiga dalam tuntutan saman SBB untuk menanggung sebarang liabiliti kerana TNB mendakwa UEM telah menyebabkan gangguan elektrik ke premis SSB.

TNB mendakwa gangguan bekalan elektrik itu disebabkan kecuaian pihak ketiga ketika menjalankan kerja-kerja pembinaan yang menyebabkan kerosakan pada kabel TNB yang membekalkan elektrik ke premis SSB.

Pada 2015, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan SSB terhadap TNB dan memerintah syarikat utiliti itu membayar ganti rugi RM4 juta kepada SSB.

Ia juga membenarkan tuntutan TNB terhadap UEM Construction dan memerintahkan UEM Construction menanggung separuh daripada RM4 juta tersebut selepas mendapati syarikat berkenaan 50 peratus penyumbang kecuaian terhadap insiden itu yang menyebabkan kerosakan pada kabel TNB yang secara langsung mengakibatkan gangguan bekalan elektrik ke premis kilang SSB. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here