Tidak wujud sempadan Kedah dan Pulau Pinang, Pulau Pinang Hak Kedah – Sanusi

0
279

Oleh RIZQI ZABIDI

“YANG saya tahu Pulau Pinang itu Kedah punya.”

Itu dakwaan dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditanya sama ada negeri itu mahu turut menyelesaikan persempadanan dengan negeri-negeri berjiran yang lain setelah Kedah memuktamadkan sempadan darat serta maritim dengan Perlis, hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau merasakan tidak wujud sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang.

“Tak ada sempadan Kedah dan Pulau Pinang tetapi dengan Perak, mungkin ada. Ini bukan nak ambil semula sebaliknya kita tak ada terlepas apa pun.

“Memang hak kita… Tak ada sempadan Kedah dan Pulau Pinang.

“Nak ukur tang mana, ‘habaq pi’ (beritahu). Nak pakai warta nombor berapa pun beritahu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat Serta Maritim Antara Kedah dan Perlis di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Dalam majlis tersebut, Kedah dan Perlis memuktamadkan perjanjian sempadan darat dan maritim secara serentak, sekali gus mencatat sejarah selaku dua negeri pertama di Malaysia yang menyelesaikan dua sektor tersebut secara bersekali.

Pada majlis itu Muhammad Sanusi bersama Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli menandatangani tiga dokumen iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) Menerima Hasil Penandaan dan Pengukuran dijalankan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Perjanjian Sempadan Darat Kedah Perlis serta Perjanjian Sempadan Maritim.

Sementara itu dalam sidang akhbar sama, Muhammad Sanusi turut meminta semua pihak agar tidak mengheret isu kononnya Pas diajak menyertai kerajaan Perpaduan, ke tahap yang terlalu jauh.

“Tok Guru (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) kata ada orang nak jumpanya dan beliau sanggup jumpa sesiapa saja termasuk Anwar. Beliau kata ‘hat’ itu saja dan tak kata pun orang ajak beliau masuk kerajaan Perpaduan.

“Dakwaan itu akhbar yang tulis kemudian akhbar ulas, nayalah Tok Guru kalau begitu. Tak patut ambil daripada benda-benda begitu kemudian dipanjangkan lagi sebaliknya balik kepada asal iaitu banyak orang nak jumpa beliau dan Abdul Hadi sanggup jumpa sesiapa pun,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here