Lima tahun kes CBT RM6.6 bilion Irwan tergantung

0
151

KEHIDUPAN bekas Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar sudah lima tahun dibayangi kes pecah amanah jenayah bernilai RM6.6 bilion menyelubungi hidup bekas

Peguamnya, K. Kumaraendran memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa sebutan kes perlu ditetapkan Julai ini bagi ‘memberi tekanan’ kepada pihak pendakwaan untuk membuat keputusan berhubung surat representasi Irwan dalam kes berkaitan International Petroleum Investment Company (IPIC) itu.

Pada 3 April lalu, hakim perbicaraan Muhammad Jamil Hussin mengosongkan jadual perbicaraan terhadap Irwan dan bekas Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada hari itu untuk membolehkan Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan sama ada untuk membenaran representasi Irwan atau tidak.

Dalam surat representasinya, pihak tertuduh memberi cadangan penyelesaian, seperti menerusi pembatalan pendakwaan atau pendakwaan yang lebih ringan.

Ketika sebutan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi meminta satu tarikh pada September untuk membolehkan Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun membuat keputusan berkenaan representasi Irwan.

Muhammad Saifuddin berkata, ini kerana ia melibatkan RM6 bilion dan sejumlah isu dan AG perlu lebih masa untuk menelitinya.

Namun, Kumaraendran memberi cadangan balas iaitu sebutan kes ditetapkan pada Julai.

“Pendakwaan ini telah menyelubungi hidup anak guam saya selama lima tahun. Dia (Irwan) didakwa (di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) pada 2018 dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 2019.

“Kemudian banyak tarikh ditetapkan untuk pendengaran dan atas pelbagai sebab, tarikh-tarikh ini dikosongkan.

“Pada 3 April, saya memohon DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan terhadap Irwan) dan Yang Arif menolaknya.

“Tarikh (untuk perbicaraan penuh) ditetapkan pada 3 April dan mereka (pendakwaan) beri sebab (untuk kosongkan tarikh perbicaraan) yang AG perlu buat pertimbangan terhadap representasi.

“September terlalu lama (untuk sebutan kes),” katanya, menyifatkan ia tidak adil untuk Irwan, lapor Malaysiakini.

Kumaraendran berkata, tempoh dua bulan iaitu sehingga Julai memadai untuk memberi tekanan kepada pendakwaan agar keputusan terhadap representasi tersebut dibuat lebih cepat.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tiada bantahan untuk tarikh baharu sebutan kes.

Jamil kemudian menetapkan 9 Julai ini untuk sebutan kes bagi pendakwaan pecah amanah jenayah terhadap Najib dan Irwan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here