Kastam rampas dadah bernilai lebih RM81 juta dalam 5 bulan pertama tahun ini

0
156

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah bernilai RM81.3 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini membabitkan lebih 2,410.2 kilogram (kg).

Rampasan dadah terbesar adalah dari jenis kanabis membabitkan lebih 1,307 kg, diikuti MDA estacy (1,071.1 kg), methamphetamine (21.5 kg), heroin (3.7 kg) dan eramin 5 sebanyak 10,003 biji.

Selain itu, JKDM menumpaskan cubaan menyeludup barang bersubsidi seperti diesel, minyak masak, petrol dan gula.

Jumlah keseluruhan kes penyeludupan yang ditumpaskan tahun ini, setakat April lalu membabitkan 48 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM432,659.48, manakala tahun lalu, JKDM merekodkan 100 kes dengan rampasan bernilai RM573,688.07.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata JKDM tidak berkompromi berkaitan aktiviti penyeludupan di negara ini dan sentiasa tegas dalam menguatkuasakan undang-undang.

Katanya, JKDM sentiasa berusaha memperkasakan kawalan dan penguatkuasaan dengan penggunaan teknologi bagi membendung aktiviti penyeludupan termasuk menggunakan mesin pengimbas, yang menjadi antara kaedah untuk mengekang kegiatan penyeludupan.

Setakat ini, beliau berkata JKDM memiliki 109 mesin pengimbas bagasi, empat mesin pengimbas badan dan enam mesin pengimbas kargo udara, menyaksikan keseluruhan adalah sebanyak 119 unit.

Dari jumlah itu, katanya 103 unit masih beroperasi dan enam unit masih dalam proses pembaikan membabitkan 14 mesin pengimbas bagasi serta dua mesin pengimbas badan.

“JKDM sedang dalam proses tender sewaan untuk tiga mesin pengimbas ‘back scatter’ untuk kegunaan Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Narkotik. Dijangkakan tender akan bermula pada Ogos 2023.

“Selain itu JKDM sedang dalam proses mengkaji dan menguji keberkesanan penggunaan teknologi baharu iaitu eseal bagi menggantikan sil timah yang telah digunakan sejak bertahun-tahun lamanya. Teknologi ini penting bagi memantau pergerakan logistik kontena dan lori sekali gus dapat membanteras aktiviti penyeludupan dan meningkatkan pungutan hasil negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata penggunaan eseal telah meluas diguna pakai di Negara Afrika Timur seperti kastam Kenya, Uganda , Rwanda , Burundi dan Congo.

Beliau berkata pelaksanaan eseal di negara berkenaan telah meningkatkan kutipan cukai sebanyak 20 peratus.

“Sekiranya eseal dilaksanakan penggunaannya di JKDM, secara tidak langsung dapat meningkatkan keselamatan kargo dan kebolehkesanan pergerakan kontena dan lori sekali gus dapat memastikan dagangan dapat tiba ke destinasi dengan tepat pada masanya dan maklumat pergerakan juga dapat dipantau,” katanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here