Mahkamah Rayuan perintah remaja jalani 100 jam khidmat masyarakat

0
151

SEORANG remaja lelaki yang mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan berkaitan seks diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan hari ini supaya menjalani perintah khidmat masyarakat selama 100 jam.

Ini selepas panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk M. Gunalan dan Datuk Lim Chong Fong membenarkan rayuan remaja itu untuk mengetepikan perintah mahkamah sebelum ini supaya dia dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.

Lim yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata perintah sewajarnya diberikan kepada remaja itu yang kini berusia 18 tahun ialah supaya dia melakukan khidmat masyarakat selama 100 jam di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan menambah bahawa ia juga termasuk kaunseling serta pendidikan agama dan moral.

“Kami mengakui perintah yang dikenakan terhadap perayu mungkin tidak sesuai dan ideal untuk semua orang. Kami lebih suka meletakkan kepercayaan kepada perayu bahawa dia telah belajar daripada episod ngerinya dan tidak akan mengulanginya,” kata beliau.

Lim berkata perintah Mahkamah Majistret yang bersidang sebagai Mahkamah Bagi Kanak-Kanak untuk menghantar remaja itu ke Sekolah Henry Gurney, yang terletak di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Penjara, berdasarkan laporan percubaan adalah menyalahi undang-undang kerana tiada penjelasan pegawai kebajikan dalam laporan itu menunjukkan remaja tersebut tidak sesuai untuk dipulihkan di sekolah yang diluluskan.

Beliau berkata dalam menjatuhkan hukuman ke atas seseorang, mahkamah mesti mengambil kira keseimbangan yang memenuhi kepentingan awam dan menghalang berlaku semula jenayah serta memulihkan orang itu.

Lim berkata mahkamah yakin remaja itu yang telah tersalah langkah kini telah kesal dan malu terhadap apa yang dilakukannya, sambil menambah bahawa bapa remaja itu telah mengakui bahawa anaknya menunjukkan perubahan sikap ke arah yang lebih baik.

Dia berkata remaja itu kini menghabiskan lebih banyak masa di rumah dengan menumpukan pada pelajaran dan kurang menghabiskan masa pada telefon bimbitnya serta menonton rancangan animasi bagi mengelak keinginan melayari laman web pornografi.

Sementara itu, Hadhariah menasihati remaja itu supaya mengambil keputusan mahkamah sebagai pengajaran dan satu amaran supaya dia tidak mengulangi kesalahan itu atau dia tidak akan mendapat peluang kedua.

“Jika kamu melakukan kesalahan itu sekali lagi, tindakan undang-undang akan dikenakan. Jika kesalahan seksual itu di bawah Kanun Keseksaan, maka hukuman di bawah peruntukan itu akan terpakai,” kata beliau.

Hadhariah juga berkata adalah menjadi tanggungjawab pegawai kebajikan untuk memutuskan jenis khidmat masyarakat yang akan diberikan kepada remaja itu.

Hakim itu juga mengarahkan pihak pendakwaan supaya menyampaikan perintah mahkamah kepada pegawai kebajikan untuk dikuatkuasakan terhadap remaja itu dan meminta pihak pendakwaan melaporkan semula kepada mahkamah untuk memastikan perintah itu dilaksanakan oleh pegawai.

Budak lelaki itu berumur 15 tahun pada masa melakukan kesalahan itu terhadap rakan-rakannya dan adik perempuannya.

Dia didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, yang bersidang sebagai Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, terhadap atas dua pertuduhan seksual fizikal dan satu lagi pertuduhan persetubuhan luar tabii. Dia juga didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, bersidang sebagai Mahkamah Bagi Kanak-kanak, atas satu pertuduhan seksual fizikal.

Pada 23 Sept 2020, Mahkamah Majistret Sepang memerintahkan remaja itu ditempatkan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun manakala Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan perintah yang sama pada 4 Feb 2021 selepas dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan.

Rayuannya terhadap perintah itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 5 Nov 2021, menyebabkannya merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mewakili remaja itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee mewakili pendakwaan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here