Bersih gesa Anwar henti amalan lantikan politik dalam GLC

0
228

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Perdana Menteri untuk menghentikan pelantikan politik di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan menjadikan proses lantikan secara terbuka kepada umum.

Menurut laporan Astro AWANI, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata amalan lantikan politik yang sudah diamalkan oleh pentadbiran sebelum ini, dakwanya, telah menyebabkan rasuah dan salah urus GLC.

Jawatankuasa itu merujuk kepada pelantikan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif di Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), sebuah syarikat milik kerajaan.

Walaupun Wong Chen layak dan berupaya untuk mengetuai syarikat tersebut, namun Bersih mempersoal adakah negara kekurangan rakyat sehingga Anwar terpaksa melantik Ahli Parlimen dari partinya itu.

Tambah Bersih, pelantikan berkenaan seharusnya ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dan jelas Bersih, wakil rakyat perlu dielakkan sebagai calon bagi jawatan dalam GLC.

Penapisan oleh JPKP akan memastikan hanya individu yang layak dilantik ke jawatan utama GLC dan badan berkanun kerana syarikat ini adalah penjaga kepada kekayaan awam, dan bukannya perniagaan swasta, dakwa Bersih.

Dalam pada itu, Bersih memuji tindakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkenaan pengisian jawatan Pengarah Eksekutif untuk dua GLC di bawah kementerian beliau iaitu Teraju dan Peneraju bagi calon berkelayakan harus dijadikan sebahagian SOP melantik lembaga GLC dan syarikat berkanun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here