Notifikasi produk kosmetik Clemira Care Cream dibatalkan

0
180

NOTIFIKASI produk kosmetik, Clemira Care Cream, yang dikesan mengandungi racun berjadual miconazole dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata produk yang mengandungi miconazole perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta,” katanya dan menambah penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Beliau menasihati orang awam supaya tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik berkenaan kerana penggunaan miconazole (antifungal) secara tidak terkawal boleh meningkatkan risiko kerintangan dan seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa depan.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik tersebut dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here