Bapa tiri,ibu tak mengaku cederakan dua anak

0
108

SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini terhadap dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua anak mereka, awal tahun ini.

Pengakuan bapa tiri kepada kedua-dua mangsa dan ibu kandung kanak-kanak itu, direkodkan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Bapa tiri yang bekerja sebagai pemandu lori berumur 29 tahun dan isterinya, 28, didakwa melakukan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan adik perempuannya berumur lima tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Pandan Damai Bukit Rangin di sini pada Januari lepas. 

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh dikenakan perintah bon berkelakuan baik untuk satu tempoh dan menjalankan khidmat masyarakat tidak lebih 240 jam.

Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dan memohon syarat tambahan mereka tidak menghampiri saksi serta mangsa yang kini dijaga nenek, melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Mohamad Hamizey Mat Taib yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan minimum diberikan kerana tertuduh lelaki yang berpendapatan RM2,500 sebulan perlu menyara orang tuanya manakala isterinya tidak berkerja.

Mohammed Mokhzani membenarkan setiap tertuduh dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan serta menetapkan 4 Julai ini untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here