‘’ RTM saja beli filem Anwar, tayangkan secara percuma’’ – Ahli Parlimen Pas

0
214

RTM dicadangkan membeli filem biopik Anwar: The Untold Story supaya kerajaan tidak perlu mengarahkan pelajar sekolah menontonnya di pawagam.

Ketika membuat cadangan itu,  Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) ketika membahaskan Rang Undang-undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 di Dewan Rakyat.

“Saya mencadangkan RTM membeli terus filem (Anwar: The Untold Story) dan tayangkan secara percuma tanpa perlu menggunakan budak (murid) sekolah dan juga kakitangan kerajaan, mengeluarkan surat rasmi menjemput mereka menonton di pawagam bersama menteri dan pegawai tinggi kerajaan,” katanya lapor FMT.

Cadangan itu turut mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen lain yang menepuk meja.

 Latiff turut berkata, kerajaan juga boleh menjemput Ahli Parlimen lain, cuma perlu mengeluarkan surat rasmi “untuk menonton filem yang penuh bersejarah”.

Terdahulu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5 (1) mengesahkan program menonton filem Anwar: The Untold Story bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di sebuah pawagam di Putrajaya malam tadi.

Penolong Kanan Tingkatan 6, Suziyah Selamat, berkata program itu atas jemputan kementerian dan tiada paksaan kepada pelajar Tingkatan 6 sekolah tersebut, sambil menyifatkan ia sebahagian proses pembelajaran di luar bilik darjah.

Suziyah berkata, aktiviti itu tidak wajar dipolitikkan kerana ia mendapat persetujuan ibu bapa terlebih dahulu, selain kandungan filem itu juga berkait silibus pembelajaran Tingkatan 6 yang menyentuh isu rasuah dan pentadbiran negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here