Bekas CEO MARii berdepan 12 pertuduhan di Mahkamah Alor Setar

0
213

Oleh RIZQI ZABIDI

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar bagi berdepan 12 pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM1 juta pada 2021 dan 2022.

Tertuduh yang berusia 56 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan itu sebaik dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ke-10, dia didakwa menerima wang berjumlah antara RM30,000 hingga RM300,000 dari akaun Hong Leong Islamic Bank milik peguamnya, Norizan & Associates (akaun klien) ke akaun Maybank Islamic miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 7 September 2021 hingga 22 Februari 2022 di Malayan Banking Berhad Cawangan Kulim, Kedah.

Mohamad Madani selain itu turut berdepan dua lagi pertuduhan sama, masing-masing berjumlah RM19,000 yang didakwa diterima menerusi akaun Maybank Islamic Berhad miliknya dari Trillion Cove Holdings Berhad, hasil daripada pembelian saham Redeemable Preference Share-i berjumlah RM1 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6 Oktober 2021 dan 8 November 2021 di Maybank Islamic Berhad di Taman Manggis III, Kulim, Kedah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Syafina Mohd. Radzuan mengikut Sekyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta sama manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed dan Muhammad Rahmat Geneid.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan ketika kesalahan itu dilakukan, atau RM5 juta bergantung mana yang lebih tinggi untuk setiap pertuduhan dihadapi.

Ini bukan kali pertama Mohamad Madani dihadapkan ke mahkamah dengan beliau terlebih dulu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 April lalu atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta pada 8 Julai 2021.

Dia selepas itu dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Mei lepas, dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM5 juta yang didakwa dilakukan sekitar Mei 2021.

Pada 10 Mei lalu, Mohamad Madani sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi berdepan sembilan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, melibatkan transaksi RM4 juta pada 2021 dan 2022.

Dia turut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan untuk kesemua pertuduhan dihadapi.

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan memohon Mahkamah menggunapakai wang jaminan RM300,000 daripada kes dihadapi di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini dengan kesemua 12 pertuduhan dihadapi hari ini juga, dipohon untuk dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi dibicarakan secara bersama pada 9 Jun depan.

Pihak pembelaan kemudiannya mengesahkan perkara itu dan tidak membantah untuk kes tersebut dipindahkan bersandarkan persetujuan yang dibuat.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan-permohonan tersebut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here