Kehadiran luar biasa isyarat awal perubahan di Selangor – Muhyiddin

0
230

KEHADIRAN orang ramai dalam jumlah luar biasa ke Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) di Shah Alam malam tadi isyarat awal perubahan yang mahu dilakukan rakyat di negeri ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sambutan luar biasa itu juga memberi gambaran apabila sampai pilihan raya negeri (PRN) nanti, Selangor akan PN tawan.

“Melihat ribuan yang hadir dalam dewan ini dan juga di luar dewan, saya fikir ini petanda awal yang menunjukkan sokongan rakyat di Selangor kepada PN adalah luar biasa.

“Apabila Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan, Selangor antara negeri yang akan menjadi fokus kita selain kita akan mempertahankan pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kita berharap Selangor akan bangkit sokong perjuangan kita dan pastikan PN menang pada PRN di negeri ini dan juga di Negeri Sembilan serta cuba mengurangkan sokongan kerajaan di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri PN Selangor malam tadi.

Sementara itu Muhyiddin berkata, PRN Pilihan Raya di enam negeri boleh menjadi pentas untuk rakyat ‘ajar’ kerajaan PH-BN yang dilihat gagal menunaikan janji dan tidak menangani masalah ekonomi rakyat.

Katanya, kerajaan PH-BN gagal membuktikan kemampuan mereka untuk membantu rakyat, malah keluhan rakyat juga tidak dipandang serius sebaliknya kerajaan hanya tahu menghukum musuh politiknya.

“Namun, agak malang sekali harapan itu menjadi sia-sia nampak sangat kerajaan pusat tidak berupaya hendak membuktikan kecekapan mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya dalam bidang ekonomi.

“Harga barang masih melambung naik, kos sara hidup tidak dapat diurus menjamin masa depan lebih selamat, apatah lagi masalah inflasi yang masih terus dihadapi pada hari ini. Tidak nampak satu pun inisiatif konkrit dan jitu yang dapat dilakukan untuk menyelesaikan masalah rakyat khususnya di Selangor,” katanya.

Antara isu dibangkitkan adalah kos sara hidup, kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bantuan perniagaan, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) serta pemotongan subsidi elektrik.

Ujarnya, isu tersebut gagal ditangani kerajaan sehingga menyebabkan kehidupan rakyat semakin tertekan dan bertambah buruk.

Malah, dalam ucapan sama beliau turut menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan partinya yang tidak menunaikan janji dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) tidak menghapuskan tol dan menurunkan harga minyak meskipun pemimpin mereka kini mengetuai kerajaan.

“Masalah OPR yang meningkat selalu, masalah subsidi elektrik yang sekarang ini sudah dipotong menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga yang lebih tinggi.

“Janji untuk menghapuskan tol sampai hari pun ini tidak dapat dilaksanakan. Apa lagi janji yang mereka buat waktu berkempen pada PRU-15 untuk menurunkan harga minyak, sampai hari ini habuk pun tak ada, apalah mereka boleh berjanji tetapi tak dapat tunaikan. Cakap tak serupa bikin,” selarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here