Penganalisis ramal UMNO terus bergolak jika prestasi PRN buruk

0
135

SEORANG penganalisis politik meramalkan berlakunya pemberontakan dalam UMNO jika parti itu menunjukkan prestasi buruk pada PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Mujibu Abd Muis daripada Universiti Teknologi Mara percaya masih wujud keretakan dalam UMNO, walaupun presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah menyingkirkan atau meneutralkan pesaing serta pengkritik parti.

Ini termasuk bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen seperti Noh Omar, Annuar Musa serta Shahidan Kassim.

“Umno sudah berpecah kepada beberapa puak, seperti kem Zahid, Bossku (Najib Razak) dan kem berkecuali yang mungkin mempunyai idea sendiri.

“Saya percaya ini (perpecahan dalam Umno) akan bertambah buruk, jika keputusan PRN tidak memihak kepada mereka,” kata Mujibu.

Beliau berkata, PRN akan menjadi pungutan suara terhadap keputusan pucuk pimpinan parti bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU tahun lepas, apabil Umno hanya memenangi 26 kerusi.

Susulan itu, ramai pemimpin Umno menggesa Zahid melepaskan jawatannya, seperti dilakukan oleh Najib Razak apabila Barisan Nasional hilang kuasa pada 2018.

Mujibu berkata, akar umbi Umno mungkin tidak seyakin pucuk pimpinan mengenai merit bekerjasama dengan PH, khasnya DAP, yang dikritik parti itu sekian lama.

Jika Umno menunjukkan prestasi yang bagus, katanya, ini dapat meyakinkan akar umbi bahawa kerjasama dengan PH adalah langkah yang tepat.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, PRN di Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan akan menjadi pengukur penting sokongan akar umbi terhadap keputusan pucuk pimpinan.

Katanya, keupayaan parti itu mengekalkan kerusi di enam negeri akan menjadi petunjuk jika parti itu masih relevan dalam kalangan pengundi.

“Jika prestasi Umno buruk, ini menunjukkan parti itu perlu berusaha lebih untuk mendapatkan semula sokongan.

“(Parti) perlu merangka strategi baharu dan memikirkan cara untuk terus memenangi sokongan rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here