Pendaki negara dilapor hilang selepas takluk Everest

0
109

PENDAKI negara Muhammad Hawari Hashim, yang menyertai misi pendakian Gunung Everest, Himalaya dilaporkan hilang sejak Jumaat.

Muhammad Hawari yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dipercayai hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 18 Mei.

Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa mangsa merupakan kumpulan sama yang menyertai Malaysia Everest 2023 (ME 2023) bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lot Kol Awang Askandar Ampuang Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia semalam.

Muhammad Hawari dipercayai hilang ketika dalam perjalanan turun dari Kem Empat.

Sementara itu, berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan oleh portal The Himalayan Times (THT) hari ini.

Portal tersebut yang memetik Pengarah Pengembaraan Perintis, Nivesh Karki berkata, Muhammad Hawari gagal dihubungi selepas meninggalkan Kem Empat.

Nivesh menambah maklumat berhubung kehilangan mangsa telah diedarkan kepada semua pengendali bagi mengesan sekiranya dia berteduh di kem lain.

Difahamkan, operasi mencari dan mengesan Muhammad Hawari sedang giat dijalankan.

Dalam pada itu, Muhammad Hawari dalam kemas kini di laman Instagramnya memaklumkan antara pendaki yang terlibat dalam ME 2023 ialah Allahyarham Awang Askandar, Azim Afif (Ketua Misi ME 2023), serta Vincent Tiong Ling Yang.

Media semalam melaporkan Muhammad Hawari berjaya menawan puncak Everest (8,848 meter dari paras laut) kira-kira pukul 3.30 petang Khamis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here