Kerajaan membelakangi Muzakarah Fatwa Kebangsaan isu kalimah Allah?

0
94

Oleh BADLISHAH MAT

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) jelas membelakangi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) apabila menarik balik rayuan kes kalimah Allah.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2008 telah memutuskan bahawa kalimah Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

“Ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam. Persoalannya adakah pendirian fatwa kebangsaan ini tidak mempunyai merit dalam pertimbangan yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri selaku menteri bertanggungjawab.

“Rakyat kini melihat satu demi satu dasar Kerajaan Perpaduan yang dikatakan Madani tetapi membelakangi pendirian golongan pemegang taruh utama pembuat dasar.

“Daripada isu pemberian ubat PrEP kepada golongan pengamal homoseksual, nyah senarai nikotin daripada Akta Racun dan kini isu penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, KDN dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Sementara itu, Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembah cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu selain memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Ahmad Fakhruddin berkata, persoalan seterusnya yang berbangkit adalah siapa pengaruh di sebalik dasar-dasar Madani yang tempang itu dan bagaimana dasar-dasar yang membawa kepada pelbagai implikasi diputuskan tanpa libat urus yang betul.

“Keputusan-keputusan ini dilihat dilaksanakan secara tergesa-gesa. Kerajaan terus menikus dengan seribu satu alasan untuk mempertahankan tindakannya yang tempang. Lama kelamaan struktur ini akan retak menanti belah. Masa akan menentukannya,” katanya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here