Anak syarikat Boustead dapat kontrak kapal selam RM140 juta

0
160

ANAK syarikat Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) mendapat dua kontrak kapal selam berjumlah RM140 juta daripada Kementerian Pertahanan.

Dalam pemfailan Bursa, BHIC berkata, BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES) diberikan kontrak bagi sokongan dalam perkhidmatan sementara untuk ‘Kapal Selam Kelas Perdana Menteri’ Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Tempoh kontrak bernilai RM99.8 juta itu sehingga 14 Feb 2024. Kontrak kedua berjumlah RM40.2 juta sehingga 31 Dis itu ialah lanjutan bagi menyelenggara kemudahan kapal selam TLDM.

Surat tawaran itu diserahkan kepada BSES pada 5 Mei lalu dan diterima syarikat terbabit semalam.

BHIC ialah anak syarikat Boustead Holdings Bhd.

TLDM memiliki dua kapal selam Scorpene yang berpangkalan di Sepanggar, Sabah.

“Selain Aziah Ali dan Salihin Abang, yang juga pengarah BHIC serta BSES, tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat itu atau individu berkaitan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu.

“Kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan BHIC Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023,” menurut BHIC, lapor FMT.

BHIC dikaitkan dengan projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS). Syarikat itu menyahklasifikasi laporan audit forensiknya terhadap projek RM9 bilion pada Ogos 2022.

BHIC ialah pemegang saham utama Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, syarikat yang menerima kontrak Kementerian Pertahanan untuk membina enam kapal dalam projek LCS.

Menurut laporan nyahklasifikasi BHIC, tiga firma didakwa digunakan untuk menyeleweng RM23.37 juta daripada projek LCS.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dilaporkan berkata, RM6 bilion dibelanjakan ke atas projek itu sejak 2014, tetapi tiada sebuah pun kapal yang siap dibina dan diserahkan kepada TLDM.

BHIC mencatatkan kerugian RM28.1 juta dalam suku keempat 2022 berbanding keuntungan bersih RM564,000 pada suku ketiga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here