Hantuk kepala ke kening isteri, penganggur dipenjara 3 bulan

0
90

GARA-GARA menghantukkan kepala ke kening isteri sehingga cedera dan menerima menerima tujuh jahitan, seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faizal Maula Azanan, 33, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Noriza Mohd Nordin, 35, yang juga pembantu pegawai perubatan, dengan menghantukkan kepalanya di kening kanan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit Pangsapuri Sri Tioman 2 di Jalan Pertahanan, Setapak, pada jam 4 pagi, Sabtu lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 13 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, B Sareeka, memohon hukuman penjara setimpal dengan mengambil kira kecederaan dihadapi mangsa sehingga perlu menerima tujuh jahitan.

Faizal, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman berbentuk denda dikenakan terhadapnya dengan alasan dia menyesal dengan perbuatannya itu.

“Saya minta maaf kerana telah mencederakan isteri saya. Saya menyesal dengan perbuatan saya dan mohon hukuman denda kerana saya mempunyai anak selain ingin memperbaiki kehidupan saya,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here