Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan jenayah komputer, pecah amanah

0
117

SEORANG bekas pengurus syarikat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan membabitkan jenayah komputer dan satu pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian RM220,000 enam tahun lepas.

Hakim Datuk M M Edwin Paramjothy membuat keputusan itu terhadap Muhamad Shahrul Md Sabri, 41, yang ketika kejadian merupakan Pengurus Malaysia Building Society Berhad (MBSB), selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

“Tertuduh dengan ini dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Shahrul didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan mengeluarkan wang RM220,000 kepunyaan MBSB, menggunakan kata nama dan kata laluan milik orang lain yang menyebabkan kerugian kepada MBSB.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Dia juga menghadapi pertuduhan membuat capaian kepada kandungan sistem MBSB Integrated Core Banking (MICOB) dan telah menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap data-datanya melibatkan wang sama, mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

Muhamad Shahrul turut didakwa melakukan pecah amanah wang sama (RM220,000) mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di MBSB di Presint 15, Putrajaya antara 10 Ogos dan 12 September 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ilya Ellyna Nor Azmal manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Nur’ain Shahiera Khalid.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan bermula 2019. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here