Kes kalimah Allah: KDN terlalu sambil lewa

0
92

DEWAN Ulamak Pas Pusat (DUPP) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan sebenar sebab menarik rayuan dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill, seorang wanita Kristian dari Sarawak yang menggunakan kalimah Allah atas tujuan agamanya.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, rayuan itu sepatutnya dilaksanakan selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 membenarkan Jill Ireland menggunakan kalimah Allah, Baitullah, kaabah dan solat dalam agama Kristian.

“DUPP berpandangan, keputusan KDN menarik balik rayuan dalam kes tersebut menggambarkan sikap sambil lewa dan tidak benar-benar meneliti justifikasi penghujahan kes tersebut dengan mendalam.

“KDN tidak mengambil berat pendirian Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) yang menjelaskan bahawa lafaz Allah SWT adalah khusus kepada umat Islam sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, lafaz tersebut serta perkataan kaabah, solat serta Baitullah seharusnya dilindungi melalui undang-undang daripada sebarang bentuk dan potensi disalahgunakan.

“Ironinya, kerajaan yang menguar-uarkan slogan madani tidak langsung serius melihat perkara ini,” ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Justeru katanya, DUPP menegaskan supaya pihak KDN mengambil langkah berani dan konsisten iaitu meneruskan rayuan kes Jill Ireland.

“Tidak seharusnya kes sebegini dipandang enteng oleh kerajaan memandangkan implikasi kepada masa depan agama itu sendiri,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here