Ummah bantah tarik balik rayuan guna kalimah Allah

0
163

Oleh DR. KAMARUZAMAN YUSOFF

GERAKAN Pembela Ummah (Ummah) mengikuti secara rapat tindakan Kerajaan Madani yang telah menarik balik rayuan keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah. Surat penarikan bertarikh 18 April 2023 adalah dirujuk.

Ummah dengan ini membantah sekeras-kerasnya tindakan ini.

Ini bermakna bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh mana-mana bukan Islam secara bebas yang dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam khususnya generasi anak muda.

Ummah menzahirkan rasa terkilan dan terkejut dengan keputusan ini, ditambah lagi keputusan yang dibuat secara unilateral ini seolah-olah menjatuhkan kredibiliti pihak-pihak berkepentingan yang bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal Islam seperti Majlis Raja-Raja Melayu, Majlis Agama Islam negeri-negeri dan pelbagai institusi lain dalam negara ini.

Ummah turut menggesa agar YB Menteri Agama mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan drastik Kerajaan Madani. Hal ini kerana isu ini adalah isu yang berkait rapat dengan portfolio di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sekiranya tiada penegasan daripada pihak berautoriti, dibimbangi akan ada kelompok yang akan bertindak ekstrem dan boleh mewujudkan perasaan tidak senang, tidak selamat, dan menggugat keharmonian serta kesejahteraan hubungan antara kaum.

Ummah mendesak supaya pihak berwajib memikirkan semula tindakan ini dan meneruskan proses rayuan seperti sepatutnya.

Sehubungan dengan itu, suatu sidang meja bulat (RTD) akan diadakan oleh pihak Ummah bersama-sama NGO Islam serta pelbagai pihak lain dalam masa terdekat.

DR. KAMARUZAMAN YUSOFF
Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here