Feri terkandas, syarikat persoal bantuan agensi kerajaan

0
120

Oleh BADLISHAH MAT

SERAMAI 140 penumpang feri dari Pulau Langkawi, Kedah ke Kuala Perlis terkandas pada jarak 0.9 kilometer dari Terminal Penumpang Kuala Perlis sekitar pukul 7 petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Kuala Perlis dan para penumpang terpaksa menunggu hampir lima jam sebelum feri tersebut yang terpaksa ditunda tiba ke terminal pada pukul 12.20 tengah malam.

Menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd, Kapten Baharin Baharom, feri itu terkandas selepas dipercayai tersangkut pada tali yang menyebabkan enjin tidak dapat beroperasi dengan sebaiknya.

Baharin berkata, kerja-kerja menunda feri berkenaan sedang dibantu oleh bot-bot nelayan yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Kami masih belum dapat pastikan sama ada feri ini terkandas disebabkan tali oleh pukat nelayan atau pun tali yang dihanyutkan arus laut,” katanya.

Dalam pada itu, sebuah akhbar yang memetik Baharin sebagai berkata, pihaknya turut kecewa apabila tiada aset-aset agensi kerajaan yang dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu menunda feri yang terkandas itu.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan agensi keselamatan kerajaan telah banyak melakukan latihan bersama bagi menyelamat di laut sebagai persediaan penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23).

“Kita dapat lihat tiada langsung aset-aset agensi keselamatan kerajaan yang digerakkan bagi membantu feri terkandas ini.

“Sekiranya sewaktu penganjuran LIMA ‘23 nanti berlaku kejadian feri terkandas seperti ini, adakah penumpang perlu menunggu berjam-jam sedangkan latihan yang diuar-uarkan itu begitu gah namun mana perginya agensi keselamatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here