2 pengarah syarikat direman bantu siasatan kes rasuah Penjana lebih RM400,000

0
213

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

DUA pengarah syarikat di Pulau Pinang direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya membabitkan nilai lebih RM400,000.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 35 dan 62 tahun itu dikeluarkan Majistret, Mohamad Azlan Basri selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret, kira-kira pukul 10 pagi ini.

Menurut sumber SPRM, suspek didakwa mengemukakan tuntutan kononnya mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagaimanapun ia tidak dilaksanakan meskipun tuntutan kepada kerajaan telah dibuat.

Kedua-dua suspek yang merupakan pengarah syarikat berkaitan import tekstil dan syarikat barangan lusuh itu diwakili peguam daripada firma guaman, Partibhan & Co. dan Anba & Associates.

Kedua-dua suspek ditahan menerusi Ops Hire 2.0 iaitu operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu yang dibuat oleh pengarah-pengarah syarikat menerusi program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (Penjana).

Terdahulu, media melaporkan seramai 47 individu lagi ditahan SPRM berhubung kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya di seluruh negara melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM63 juta.

Mengikut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 33 lelaki dan 14 wanita ditahan menerusi Op Hire yang dijalankan serentak di seluruh negara sejak semalam.

Kata sumber itu, kesemua tangkapan terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah dan pengurus syarikat membabitkan 51 syarikat yang dikenal pasti SPRM melakukan tuntutan dengan nilai keseluruhan RM63 juta. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here