PN yakin sapu bersih DUN di utara Selangor

0
137

HULU Selangor yang terletak di utara negeri paling kaya Malaysia itu penuh dengan tarikan pelancongan yang tersendiri.

Tapak-tapak perkhemahannya menjadi buruan pencinta alam, selain suasana kampung dan pekan kecil yang masih dapat dirasai di beberapa tempat seperti Kuala Kubu Bharu.

Memetik laporan MalaysiaNow, Hulu Selangor, yang lebih besar daripada negeri Melaka itu juga satu-satunya kawasan yang mempunyai penempatan Felda di Selangor.

Kehijauan alam turut menarik peminat dua roda untuk berkonvoi menyusur jalan-jalan kampung di sana. 

Namun di sebalik kedamaian dan kehijauan yang malar, gelombang undi Melayu yang disaksikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tampak tidak surut dan mungkin membalikkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hulu Selangor.

Kerusi itu antara yang mencatatkan kejutan apabila pertama kali jatuh kepada PAS yang bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, kerusi itu dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dan PKR.

Ia mempunyai tiga kerusi DUN di bawahnya iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali. 

Ahli Parlimen Hulu Selangor Hasnizan Harun berkata pengundi di kawasan itu yang sebelum ini setia kepada Umno, sudah mula terbuka.

“Sebelum saya menang, memang sukar untuk kami (PAS) tembus ke tempat-tempat tertentu terutama kawasan Felda.

“Sekarang mereka tiada masalah menjemput saya ke program-program mereka,” katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow.

Hasnizam yang juga bendahari PAS Selangor berkata, hubungan dengan Muafakat Nasional (MN) juga masih tidak putus meskipun Umno pusat memilih haluan berbeza.

Disebabkan itu katanya, PAS berjaya memecah tembok kubu Umno di kawasan-kawasan Melayu.

Ia hasil daripada usaha mendekati pengundi bertahun-tahun.

Rekod PAS yang bertanding di kerusi tersebut menunjukkan mereka pernah tewas dengan angka puluhan ribu undi, terutama di kawasan Felda.

Pada PRU14, beliau mendapat tempat ketiga di DUN Batang Kali.

Pada PRU15, Hasnizam berkata jentera PN bergerak memasuki ke kawasan hulu dan pedalaman yang tidak dilawati oleh calon-calon lain.

Ia membuahkan hasil apabila beliau menang.

Di kerusi Batang Kali, Harumaini Omar dari Pejuang merupakan penyandang kerusi manakala Hulu Bernam dan Kuala Kubu Bharu masing-masing dimenangi oleh Rosni Sohar daripada BN dan Lee Kee Hiong daripada Pakatan Harapan (PH). 

Daripada tiga kerusi itu, Batang Kali dan Hulu Bernam adalah dua kerusi majoriti Melayu yang disasarkan untuk dirampas PN. 

Kuala Kubu Bharu pula mungkin lebih mencabar ekoran peratusan Melayu yang hanya 50%.

“Hubungan dengan kawan-kawan dalam Muafakat Nasional (MN) tidak putus.

“Ini berkait dengan kemenangan di Hulu Selangor,” katanya merujuk kepada kerjasama politik Umno dan PAS yang kini sudah tamat. 

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN. 

Daripada jumlah itu, PH menang 51 kerusi, PAS (1) dan BN (4) pada PRU14.

PH kemudian hilang enam kerusi setelah Bersatu berpecah daripada gabungan itu.

Hasnizam juga melahirkan keyakinan mengenai keupayaan PAS menawan undi BN yang tidak berpuas hati dengan tindakan bergabung dengan PH.

Dalam pada itu, katanya antara isu yang mendapat perhatian rakyat sekarang ialah infrastruktur luar bandar yang masih perlu ditambah, antaranya jambatan Batang Kali, klinik kesihatan dan kolej komuniti. 

Menurut beliau, penduduk di beberapa taman perumahan di Serendah juga terkesan dengan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila lori dan trak pembinaan tidak mahu membuat laluan alternatif. 

Sebaliknya, mereka menggunakan jalan-jalan di taman perumahan sehingga merosakkan jalan dan membahayakan kanak-kanak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here