Budak tunggang motosikal maut rempuh tiang lampu

0
102

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG budak lelaki berusia 13 tahun maut manakala adiknya berusia 12 tahun pula cedera parah selepas motosikal dinaiki melanggar tiang lampu di Taman Seri Impian, Kluang malam tadi.

Kejadian pada pada pukul 11.29 malam itu mengorbankan Muhammad Farish Hafiy manakala adiknya, Muhammad Amin Asyraf patah kaki kanan dan lebam di dahi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kedua-dua beradik tersebut yang beralamat di Bandar Seri Impian di Kluang menaiki motosikal jenis Honda Wave.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian didapati motosikal itu dipercayai datang dari arah kawasan perumahan Taman Seri Impian menghala ke lampu isyarat di Jalan Kota Tinggi-Kluang.

“Tiba di tempat kejadian, motosikal tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu jalan yang berada di tengah pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggangnya, Muhammad Farish Hafiy yang tidak memiliki lesen cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kata Bahrin, Muhammad Amin Asyraf pula patah kaki kanan dan lebam di dahi sebelum dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut kedua-dua beradik berkenaan tidak memakai topi keledar dan motosikal tersebut atas nama ibu mereka.

Katanya, siasatan mendapati cukai jalan dan insuran motosikal berkenaan telah tamat tempoh.

“Pemilik akan dipanggil untuk tindakan saman di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) iaitu 1987 mana-mana pemilik kenderaan tidak boleh membenarkan orang tiada lesen memandu atau menunggang kenderaannya,” jelasnya.

Tambahnya, kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here