Mangsa diheret buaya ke dalam sungai, kata saksi

0
146

SEORANG pekerja ladang hilang selepas dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2, di Beluran semalam.

Mangsa, Rudi Amiruddin, 28, dilaporkan hilang pada pukul 12.30 tengah hari ketika membersihkan diri di sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu daripada polis pada pukul 3.51 petang.

“Menurut laporan, saksi yang memaklumkan sebelum kejadian mangsa sedang membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan estet yang bersempadan dengan sungai terbabit.

“Ketika berehat, mangsa pergi ke tepi sungai untuk mencuci tangan dan kakinya namun tiba-tiba seekor buaya muncul dan mengheret mangsa ke dalam sungai.

“Mangsa sempat menjerit meminta tolong namun tidak dapat dibantu oleh rakannya yang berada di lokasi,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Susulan kejadian itu, sebaik laporan diterima seramai empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 70 kilometer dari BBP Beluran.

Edoen berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan keselamatan lain segera dilakukan namun mangsa gagal ditemui semalam.

“SAR hari kedua disambung semula dengan jarak radius satu kilometer di sekitar lokasi, namun sehingga kini pihak kami belum menemui mangsa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here