Amelia Henderson fail rayuan terhadap perintah bayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A.Aida

0
122

PELAKON Amelia Henderson memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada penerbit filem dan drama A. Aida kerana melanggar kontrak penggambaran drama berjudul `Sekali Lagi Cinta Kembali’.

Peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman, yang mewakili Amelia, 28, atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson ketika dihubungi pemberita berkata, notis rayuan itu difailkan pada 18 April lepas di Mahkamah Tinggi.

Menurut peguam itu, pengurusan kes untuk rayuan tersebut ditetapkan pada 26 Mei ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozana Husin.

Pada 7 April lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Amelia membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A. Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang menerusi syarikatnya, A. Aida Production Sdn Bhd selepas membenarkan tuntutan saman syarikat itu terhadap pelakon drama ‘Kisah Cinta Kita’.

Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan Amelia selaku defendan membayar ganti rugi am RM90,000; pemulangan bayaran pendahuluan selepas menandatangani kontrak perjanjian sebanyak RM3,920 dan RM101,325 bagi pembayaran kos penggambaran serta kos RM18,000 kepada A. Aida selaku plaintif.

Hakim itu turut membenarkan permohonan A. Aida untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Amelia daripada menerbitkan kenyataan fitnah sama terhadapnya selain pelakon itu perlu memohon maaf kepada plaintif di akaun Instagramnya @ameliath dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah dalam tempoh tujuh hari bermula 7 April.

Pada 28 Julai 2022, A. Aida Production menyaman Amelia berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila pelakon wanita itu menarik diri di saat akhir daripada penggambaran drama tersebut.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Amelia telah menerima bayaran pertama sebanyak RM3,920 selepas menandatangani perjanjian kontrak serta bersetuju memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan drama tersebut.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa Amelia membuat keputusan untuk menarik diri walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak sebelum notis penamatan kontrak diberikan kepada pelakon itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here