Jana Wibawa: Muhyiddin mohon pindah perbicaraan kes ke Mahkamah Tinggi

0
200

BEKAS perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadapnya berkait program Jana Wibawa didengar di Mahkamah Tinggi.

Memetik laporan FMT, Rosli Dahlan, anggota pasukan guaman Muhyiddin berkata, permohonan difailkan pada 27 April untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen kerana ia melibatkan beberapa isu perlembagaan.

Katanya, pihak pembelaan berhasrat mencabar keperlembagaan pelbagai peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 semasa prosiding.

“Memandangkan isu undang-undang dan fakta yang rumit akan dibangkitkan, lebih wajar kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Azizah Jaafar.

Rosli berkata, permohonan untuk memindahkan kes itu dibuat oleh pihak pembelaan memandangkan pihak pendakwaan tidak memulakannya sendiri.

“Dalam semua kes rasuah bekas perdana menteri Najib Razak, pihak pendakwaan memfailkan perakuan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi (untuk) perbicaraan,” katanya.

Pada 10 Mac, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional, didakwa melakukan empat kesalahan salah guna kuasa di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021.

Sebagai perdana menteri, beliau didakwa menerima RM232.5 juta dan mengubah RM200 juta secara haram, kesalahan yang menjadi subjek tiga tuduhan.

Rosli berkata, Nur Azizah memberikan pihak pendakwaan masa hingga 29 Mei untuk memfailkan afidavit sebagai jawapan kepada permohonan pemindahan kes oleh pihak Muhyiddin.

Pengurusan kes akan diadakan pada 31 Mei.

Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

Kontroversi tercetus selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos beberapa projek terlalu tinggi dan ia dianugerahkan tanpa melalui proses tender.

Pada 19 April, Muhyiddin turut memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuduhan salah guna kuasa atas alasan tuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM itu tidak menunjukkan berlaku sebarang kesalahan.

Beliau mahu semua prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu.

Pada sidang pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendaftar Nur Shafini Mustafha memberi pihak pendakwaan masa hingga 22 Mei untuk memfailkan afidavit sebagai jawapan.

Beliau juga menetapkan pengurusan kes pada 12 Jun.

Hisyam Teh Poh Teik, K Kumaraendran, Chetan Jethwani, Amer Hamzah Arshad dan Kee Wei Lon mewakili Muhyiddin selaku peguam dalam kedua-dua pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Noralis Mat dan Nor Asma Ahmad tampil bagi pihak pendakwaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here