Sukar gantung pemandu cuai jika tempoh lesen 10 tahun, kata pakar

0
145

KEPUTUSAN kerajaan membenarkan lesen memandu diperbaharui sehingga 10 tahun mungkin menyukarkan penggantungan lesen pemandu cuai, kata pakar keselamatan jalan raya.

Law Teik Hua dari pusat penyelidikan keselamatan jalan raya Universiti Putra Malaysia berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) lazimnya dapat menghalang pemandu yang melakukan kesalahan trafik serius daripada memperbaharui lesen mereka.

“Dengan dasar baharu ini, sukar untuk JPJ menguatkuasakan penggantungan lesen sekiranya pemandu dibenarkan memperbaharuinya sehingga 10 tahun. Pembaharuan lesen mesti dibenarkan untuk pemandu yang menunjukkan sejarah pemanduan bertanggungjawab,” katanya lapor FMT.

Law berkata, dasar itu sekadar memudahkan tugasan pentadbiran dan proses pembaharuan lesen.

Beliau mencadangkan lesen memandu elektronik digunakan untuk memudahkan proses pembaharuan, selain bagi mengaitkan sebarang rekod kesalahan lalu lintas atau kemalangan oleh pemandu.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengumumkan lesen memandu boleh diperbaharui selama 10 tahun mulai Isnin depan di pejabat dan kaunter JPJ.

Sehingga kini, lesen memandu boleh diperbaharui setiap tahun atau maksimum lima tahun.

Loke berkata, mereka yang memilih memperbaharui lesen memandu selama 10 tahun hanya akan dikenakan bayaran untuk sembilan tahun.

Seorang pembantu menteri itu berkata, tiada had usia untuk mereka yang mahu memperbaharui lesen, asalkan mereka layak memandu.

Sementara itu, perunding keselamatan jalan raya, Karen Goonting berkata, tiada keperluan menetapkan had usia bagi pembaharuan lesen memandu dan sebarang kebimbangan berkaitan kecekapan pemandu boleh diatasi menerusi peraturan sementara.

“Satu-satunya syarat adalah sebaik mencapai usia 70 tahun, anda memerlukan sijil doktor untuk mengesahkan kecekapan anda di jalan raya,” katanya.

Goonting berkata, wujud persefahaman dalam kalangan pakar dan agensi keselamatan jalan raya bahawa hak seseorang untuk memandu tidak wajar ditarik balik, melainkan mereka mengakibatkan bahaya di jalan raya.

Beliau berkata, lanjutan tempoh lesen memandu sehingga 10 tahun bukan sesuatu yang unik kerana negara seperti New Zealand, UK dan Australia sudah mengamalkannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here