Lans Koperal didakwa minta, terima rasuah RM700 daripada peniaga

0
140

SEORANG anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM700, enam tahun lepas.

Lans Koperal Mohd Elfie Faizal Che Min, 35, yang bertugas di Balai Polis Pokok Assam, Taiping memohon dibicarakan atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta RM300 daripada Khor Jin Siang yang menjalankan perniagaan barang lusuh menggunakan lesen tamat tempoh di pejabat Siyian Trading, Taman Perindustrian Pengkalan, Taiping kira-kira 3.40 petang, 17 Mei 2017.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Elfie Faizal Che Min didakwa memperoleh suapan wang RM300 daripada Khor di tempat dan masa sama.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, anggota polis itu didakwa menerima suapan wang tunai RM400 daripada Khor melalui Thang Kim Hoon, untuk tidak mengambil tindakan terhadap perniagaan Siang Trading kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan barang lusuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Siyian Trading kira-kira 5.30 petang, 4 April 2017.

Pertuduhan pertama dan ketiga dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 17(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan iaitu menerima wang tunai masing-masing RM300 dan RM400 daripada Khor agar tidak mengambil tindakan kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan barang lusuh pada 17 Mei dan 4 April 2017 di Pejabat Siyian Trading di Taiping.

Kedua-dua pertuduhan pilihan itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, namun peguam tertuduh Shahidah Muslimah Roslan memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000.

Menurut Shahidah Muslimah tertuduh perlu menanggung isteri dan tiga anak kecil, ibu bapa yang uzur selain pertuduhan itu pertama kali dihadapi sepanjang hampir 15 tahun perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia.

Ahmad Kamar membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here