Rayuan saman Dusuki terhadap Mujahid ditolak

0
131

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menolak rayuan Ahmad Dusuki Abd. Rani berhubung keputusan mahkamah sesyen yang tidak menerima saman fitnah difailkannya terhadap bekas Datuk Mujahid Yusof.

Peguam Noorazmir Zakaria berkata, mahkamah turut menetapkan kos RM7,000 kepada bekas calon Pas dalam PRU ke-14 itu susulan penolakan rayuan saman fitnah berkenaan.

Katanya, saman tersebut difailkan Ahmad Dusuki berhubung ciapan dalam Twitter oleh Mujahid pada 22 November 2020.

Sebelum ini saman penasihat Kompleks Darul Thibbunnabawi itu sudah ditolak oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan kos RM11,000.

“Semasa menolak rayuan Ahmad Dusuki hari ini, hakim Khadijah Idris memberikan alasan ringkas.

“Antaranya mahkamah mendapati defendan (Mujahid) telah atas imbangan kebarangkalian membuktikan bahawa kenyataan yang dipertikaikan tersebut mempunyai justifikasi.

“Keterangan menunjukkan kenyataan yang dipertikai itu merupakan satu tindak balas terhadap kenyataan plaintif (Ahmad Dusuki) yang disiarkan di YouYube pada 20 Februari 2020 bahawa Tabung Haji telah menjual aset yang terdiri daripada hotel TH yang merupakan harta orang Islam kepada bukan Islam dan adalah dosa yang kena ditanggung sampai akhirat.

“Keterangan juga menunjukkan terdapat penjelasan yang dibuat di parlimen oleh bekas perdana menteri bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, dan TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Menurut Noorazmir lagi, hakim turut berpendapat pemindahan tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan pelan pemulihan dan penstrukturan TH yang diluluskan oleh kabinet sewaktu Mujahid menjadi menteri agama.

Terdahulu, Ahmad Dusuki mengemukakan saman ke atas Mujahid ekoran ciapan berbunyi: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Susulan itu, Ahmad Dusuki menuntut Mujahid membuat permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyata jumlahnya.

Selain itu tambah Noorazmir mahkamah juga mendapati terdapat keterangan bahawa plaintif sendiri setuju bahawa hotel TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.

“Mahkamah tinggi hari ini seterusnya memerintahkan Ahmad Dusuki membayar kos RM7,000 kepada Mujahid,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here