HANYA kerana mahu mendapatkan kunci yang tertinggal dalam unit kediamannya, seorang pelajar lelaki universiti tempatan parah selepas terjatuh dari tingkat enam blok kediaman universiti berkenaan di Sungai Chuchuh, di Padang Besar semalam.
Mangsa, Ubaidul Aqied Bustamam, 24, yang berasal dari Kulim, Kedah dipercayai terjatuh selepas tergelincir ketika cuba memanjat masuk ke dalam kediamannya untuk mengambil kunci rumah yang tertinggal dalam unit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3 petang yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan
“Siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa adalah pelajar lelaki tempatan berusia 24 tahun yang tinggal di kediaman lokasi kejadian dan berdasarkan maklumat awal, dia dipercayai cuba mengambil kunci kediamannya itu.
“Menurut saksi yang berada di sekitar tempat kejadian, mereka terdengar bunyi seperti sesuatu jatuh sebelum melihat mangsa terbaring serta berlumuran darah di lantai aras bawah bangunan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, ketika ditemui orang ramai, mangsa masih berada dalam keadaan sedar namun tidak dapat bergerak akibat kecederaan serius yang dialami mangsa.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil. Kita sudah mengambil keterangan beberapa orang saksi bagi membantu siasatan,” katanya, lapor BH Online.
Pada masa sama, Mohd Shokri turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kejadian berkenaan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Punca kejadian masih disiasat dan polis turut memohon kerjasama saksi lain yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis.
Sebarang maklumat boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Mohd Izham Aziz di talian 017-5387986.