Mahkamah Singapura tangguh kes lelaki serang Kamal Adli kepada 30 Mei

0
115

MAHKAMAH Singapura membenarkan penangguhan empat minggu lagi untuk pegawai penyiasat melengkapkan siasatan ke atas seorang lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli.

Hakim Daerah Ong Hian Sun turut mengekalkan perintah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pada 4 April, mahkamah bersetuju terhadap permohonan pendakwa raya supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan penangguhan kes selama empat minggu sehingga hari ini (2 Mei).

Tertuduh sebelum itu direman tiga minggu di IMH untuk pemerhatian psikiatri.

Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac kerana “disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya.”

Jika sabit kesalahan terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana kombinasi hukuman itu. 

Pada 12 Mac kira-kira 9.19 malam, Pasukan Polis Singapura dimaklumkan mengenai suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton di 1 Expo Drive di Singapura. Baton itu telah dirampas oleh polis sebagai barang bukti kes.

Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di sini.

Kamal dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura ketika kejadian itu berlaku di penghujung acara.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here