Amanah mohon maaf kerana tak mahu UMNO terluka, kata Khalid

0
132

KHALID Samad berkata Amanah membuat permohonan maaf kepada UMNO berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak supaya “tidak ada parti tersinggung dan semua pihak boleh move forward”.

“Mohon maaf sekiranya kenyataan itu menyinggung atau melukakan UMNO. Wajar dipohon kemaafan kerana bukan niat kenyataan tersebut untuk melukakan mana-mana pihak.

“Yang penting tujuan permohonan maaf adalah supaya kita boleh ‘move forward’ kerana Lembaga Pengampunan telah bersidang dan isu ini telah berlalu,” kata pengarah komunikasi Amanah itu lapor FMT.

Ahad lalu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, membuat permohonan maaf itu di hadapan Presiden Umno Zahid Hamidi pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri timbalan perdana menteri di Seri Satria, Putrajaya.

Ia susulan kenyataan Khalid bahawa pihaknya merayu agar permohonan pengampunan terhadap bekas presiden Umno itu ditolak.

Kenyataan Khalid mendapat kritikan pemimpin Umno, termasuk “ugutan” memutuskan hubungan kerjasama politik di Kelantan.

Sementara itu, Khalid berkata isu bantahan terhadap permohonan pengampunan kepada Najib tidak lagi berbangkit dan semua pihak perlu kembali perkukuh hubungan dalam kerajaan perpaduan bagi menghadapi PRN di enam negeri.

“Yang penting kita bersatu untuk hadapi PRN bakal mendatang. Zahid sudah sebut sekarang kita tumpu pada yang dipersetujui bersama, jadi pada masa ini ia bukan lagi isu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here