Dong Zong mahu kerajaan bertindak selepas Pemuda UMNO persoal dana sekolah Cina

0
265

KUMPULAN pendidikan Cina Dong Zong mempertahankan peruntukan RM15.7 juta yang diberikan kepada sekolah persendirian Cina di seluruh negara susulan perbandingan yang dibuat Pemuda Umno dengan dana diperuntukkan untuk sekolah agama. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, Timbalan Presiden Dong Zong Tan Yew Sing berkata jumlah itu hampir sama dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan terdahulu. 

Beliau juga berkata jumlah perbelanjaan bagi 63 sekolah persendirian Cina itu berjumlah kira-kira RM400 juta. 

“Jumlah yuran yang kami kutip ialah RM360 juta,” katanya. 

“Dengan subsidi kerajaan sebanyak RM15 juta, komuniti masih perlu mencari RM25 juta dalam perbelanjaan operasi. Tambahan pula, perbelanjaan pembangunan berjumlah RM100 juta setahun.”

Peruntukan RM15.7 juta itu dipersoalkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, yang berkata jumlah yang diterima setiap sekolah adalah dua kali ganda berbanding yang diperuntukkan untuk sekolah agama.

Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau turut menggesa kerajaan supaya menyerap sekolah persendirian Cina ke dalam sistem pendidikan negara sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan. 

Peruntukan itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke selepas permohonan oleh Dong Zong untuk pembiayaan khas.

Presiden Dong Zong Selangor dan Kuala Lumpur, Chua Kim Boon menuduh Akmal menggunakan isu itu untuk kelangsungan politiknya.

“Membangkitkan isu perkauman dalam persaingan oleh pelbagai parti politik tidak akan mendatangkan faedah kepada rakyat kita amnya dan negara kita khususnya.

“Kerajaan hari ini atau pihak berkuasa yang berkenaan harus mengambil tindakan tegas untuk membendung atau menghentikan semua kenyataan ini, sama ada untuk meraih sokongan atau untuk menghasut sentimen perkauman demi kelangsungan politik,” katanya. 

Tan dalam pada itu berkata adalah adil bagi kerajaan untuk memberi subsidi sepenuhnya kepada perbelanjaan operasi pendidikan kerana komuniti itu menyediakan pendidikan asas kepada masyarakat bagi pihak kerajaan.

“Kami tidak menentang kerajaan memberikan lebih banyak subsidi kepada sekolah agama,” tambahnya.

“Kerajaan mesti mempunyai asas sendiri dalam memberikan subsidi.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here