Bayi melecur ‘termandi’ kuah kacang panas

SEORANG bayi perempuan berusia 17 bulan melecur selepas tersiram kuah kacang panas yang baru siap dimasak ibunya di Kampung Bukit Gading, Tanah merah, Kelantan.

Nur Armel Belindha Irme dilapor melecur 10 peratus pada bahagian perut, paha, kaki dan sebahagian muka dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam Jumaat lalu.

Ibunya, Noor Amnie Syazwanie Azman, 26, berkata dia sedang menyiapkan kuah kacang yang baru siap dimasak untuk dibekalkan kepada seorang ahli keluarga.

“Kuah kacang yang masih panas itu saya masukkan ke dalam bekas dan diletakkan di atas meja. Anak datang menghampiri secara tiba-tiba dan terus mencapai bekas itu dan kuah kacang yang masih panas itu tersiram ke seluruh tubuhnya.

“Dia terus meraung dan dalam keadaan panik, saya mendukungnya ke bilik mandi untuk membersihkan kotoran itu sebelum bergegas ke hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Amnie berkata, dalam perjalanan ke Hospital Tanah Merah, sekitar tubuh anak bongsu daripada dua beradik itu sudah kemerah-merahan dan ada yang menggelembung dan bayinya tidak henti-henti menangis kesakitan.

“Dia dirawat di zon kecemasan beberapa jam sebelum dipindahkan ke wad biasa. Doktor memberitahu anak saya melecur 10 peratus dan lukanya perlu dibalut bagi mengelakkan jangkitan kuman.

“Setiap hari luka Armel perlu dicuci dan setiap kali itulah saya tidak sanggup melihatnya meraung kesakitan.

“Setakat ini, kami tidak dimaklumkan bila dia dibenarkan pulang. Apa yang penting sekarang adalah anak sembuh dan harap kejadian ini menjadi pengajaran buat orang lain,” katanya, lapor BH Online.