Nelayan cucuk mata buaya bagi selamatkan diri ketika menjala udang

0
139

TINDAKAN berani mencucuk mata buaya menyelamatkan nyawa seorang nelayan selepas diserang reptilia ganas itu ketika menjala udang di kawasan pintu air Kampung Sungai Buloh di Sebong Jaya, kelmarin.

Shahril Saupi, 36, yang berasal dari Kampung Rangawan berkata, dia bersyukur kerana masih selamat dan hanya cedera di betis kiri dan perut dalam kejadian itu.

“Saya turun menjala udang kira-kira jam 4 petang di kawasan pintu air itu, ketika itu saya sudah memperoleh kira-kira dua kilogram udang.

“Kira-kira jam 5 petang, tiba-tiba kaki kiri saya disambar buaya dan saya ditarik ke kawasan air yang dalam,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Menceritakan detik cemas itu, pekerja am di Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Pendam itu berkata, dia bergelut dengan buaya terbabit kira-kira lima minit untuk melepaskan diri.

“Ketika bergelut itu saya tidak panik dan teringat pesan orang-orang tua supaya mencucuk mata buaya.

“Selepas berjaya mencucuk mata buaya terbabit barulah reptilia itu melepaskan gigitan,” katanya.

Katanya, dalam keadaan menahan kesakitan dia menguatkan kudrat berenang ke tebing sungai sebelum mendapatkan bantuan penduduk.

“Sepanjang lima tahun menjala udang di kawasan itu, ini kali pertama saya diserang buaya dianggarkan sepanjang 3.96 meter ini.

“Malah, penduduk sering melihat kelibat buaya ini memakan sisa sampah di kawasan mereka,” katanya.

Shahril yang mempunyai tiga anak berkata, dia menjala udang bagi menambah pendapatan keluarga.

“Saya menasihatkan penduduk supaya berhati-hati ketika keluar menangkap ikan atau udang di sungai ini.

“Kita mahu pihak berkenaan menangkap buaya ganas ini bagi keselamatan penduduk,” katanya yang kini masih mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak(HUS).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here