PRN: Kerusi BN untuk Bersatu di Kelantan – Mohd Amar

0
189

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kelantan dijangka dibubarkan dalam tempoh dua minggu sebelum berakhir bulan Jun depan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, mengikut makluman yang diperolehi, kesemua negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor telah bersetuju untuk membubarkan DUN masing-masing pada bulan tersebut.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tarikh pembubaran antara satu negeri dengan negeri yang lain tidak sama namun masih pada Jun.

“Sekiranya semua negeri bubar pada Jun maka kita jangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung pada Julai. Ini kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari segi pertimbangan akan menjalankan pilihan raya serentak disebabkan sekiranya dibuat berasingan maka akan menelan kos yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di rumahnya di Kampung Alor Pasir di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, walaupun ada tempoh sehingga Ogos untuk PRN dijalankan namun berdasarkan amalan-amalan yang lepas biasanya tarikh PRN ini adalah satu bulan selepas pembubaran.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan PRN, Mohd Amar berkata segalanya sudah di peringkat maksimum.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, senarai calon belum diputuskan lagi tetapi senarainya sudah ada dan sudah diserahkan kepada Menteri Besar untuk diputuskan.

“Calon-calon yang kita ada adalah calon daripada Pas sahaja dan bagi Bersatu akan diputuskan oleh parti berkenaan.

“Dari segi pembahagian kerusi sekiranya mengikut asas perbincangan kita kekal dengan “status quo” sebagaimana di peringkat Parlimen baru-baru ini iaitu di kawasan yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) akan ditandingi oleh Bersatu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here