MASJID Kariah Desa Anggerik di Juasseh, Kuala Pilah mencipta kelainan dengan memberi duit raya kepada kanak-kanak dalam bentuk syiling di dulang sempena Aidilfitri.
Pengerusinya, Nasarudin Zainal berkata, jumlah duit raya itu bergantung kepada berapa banyak syiling yang boleh diambil kanak-kanak menggunakan dua tangan saja.
“Duit syiling kita banyak hasil sumbangan orang ramai dalam tabung masjid. Anggarannya lebih kurang RM550, kita beri peluang kepada kanak-kanak sehingga 12 tahun ambil duit raya dalam dulang selepas selesai solat dan khutbah Hari Raya Aidilfitri.
“Aktiviti ini diadakan secara suka-suka saja bagi menceriakan suasana pagi Syawal, selain menggalakkan kanak-kanak datang ke masjid,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, idea pemberian duit syiling itu datang daripada sumbangan orang ramai dalam tabung masjid.
Hanya wang kertas kita gunakan untuk pelbagai urusan. Kita sepakat jadikan syiling ini sebagai duit raya, sekali gus memberi manfaat kepada anak kariah. Ini kali pertama kami mengadakan acara seperti ini. Selain duit syiling, wang kertas turut diberikan kepada kanak-kanak sebagai tambahan.”
Ainnur Qayla Mardhiyya Mohd Farid, 7, yang ke masjid bersama bapanya untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, seronok mendapat duit raya sebanyak RM13 hasil genggaman dua tangannya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.