Peniaga disyaki pukul warga emas dakwa lemang dibeli mentah ditahan

0
250


SEORANG peniaga lemang ditahan bagi membantu siasatan memukul seorang lelaki warga emas yang mendakwa lemang dibelinya mentah dalam kejadian di sebuah gerai di Jalan Bukit Beruang Utama, di sini Jumaat lepas. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kejadian kira-kira 8 malam itu menyebabkan mangsa iaitu pesara tentera berusia 61 tahun luka di bahagian telinga kiri dan tangan kanan kerana terkena serpihan buluh lemang yang dibelah dan dirawat di Hospital Melaka.

Beliau berkata sebelum kejadian, warga emas itu datang ke gerai berkenaan untuk menukar lemang yang dibeli pada sebelah pagi kerana didapati masih mentah.

“Sebaik tiba di gerai berkenaan, mangsa mendakwa telah menunjukkan lemang yang beli di dalam bekas plastik kepada peniaga lemang iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun tetapi peniaga itu tidak mahu melihatnya.

“Peniaga tersebut kemudian membelah satu daripada lemang yang dibeli mangsa dan menunjukkan lemang tersebut masak sepenuhnya sebelum berlaku pergaduhan mulut antara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peniaga berkenaan dikatakan bertindak memukul mangsa dengan buluh lemang di bahagian telinga kiri dan terkena pada tangan kanan sebelum mangsa beredar meninggalkan gerai.

Katanya siasatan awal mendapati kejadian berlaku kerana peniaga itu mendakwa mangsa mencampak lemang yang dikatakan tidak masak dalam bekas plastik kepadanya dan mahu menularkan video kejadian yang dirakam agar orang ramai tidak datang ke gerai tersebut.

Christopher berkata selain itu, peniaga berkenaan juga mendakwa mangsa telah membalingnya dengan plastik berisi lemang yang dibeli sehingga menyebabkannya berang.

Beliau berkata peniaga itu ditahan di tepi Jalan Kota, di sini kira-kira 12.15 tengah malam pada Sabtu dan kemudian dilepas dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan.

“Kes masih disiasat lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Semalam tular menerusi media sosial video berdurasi 29 saat yang memaparkan tindakan seorang peniaga lemang memukul lelaki warga emas dengan buluh lemang selain mengeluarkan kata-kata kesat.

— BERNAMA  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here