Penghantar makanan didakwa bakar motosikal, skuter depan Suria KLCC

0
195

SEORANG penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar 11 motosikal dan empat skuter elektrik di hadapan pusat beli-belah Suria KLCC, minggu lepas.

Azril Kamarunzaman, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di ruang tempat letak motosikal hadapan Suria KLCC di Jalan Ampang di sini pada 3.30 petang, 13 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Muhamad Ridzuan Umar, yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan ibu bapanya yang uzur.

Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 10 motosikal dan empat skuter elektrik terbakar di kawasan letak kenderaan pusat beli-belah Suria KLCC, Jalan Ampang di sini.

Berikutan itu, seorang lelaki berusia 30-an ditahan selepas dikesan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here