Bekas ketua eksekutif operasi didakwa guna jawatan untuk dapatkan suapan

0
141

BEKAS ketua pegawai operasi sebuah syarikat mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan membabitkan jumlah RM415,397, tujuh tahun lepas.

Aziedy Abdul Talib, 42, didakwa salah guna posisinya sebagai ketua pegawai operasi yang memangku tugas ketua pegawai eksekutif di Mutiara.Com Sdn Bhd, dengan melantik syarikat milik adiknya iaitu ATR Resources Enterprise bagi kerja-kerja pembekalan peralatan kamera litar tertutup (CCTV) bernilai RM223,586 untuk Projek Pangsapuri Seri Bayu, Daerah Barat Daya, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Mutiara.Com Sdn Bhd di Jalan Macalister di sini pada 4 Feb 2016.

Aziedy, yang kini bekerja sebagai pengurus teknologi maklumat juga didakwa menggunakan jawatannya untuk meluluskan syarikat milik adiknya sebagai pembekal bagi kerja-kerja pemasangan interkom bernilai RM191,811 bagi Projek Pangsapuri Seri Bayu pada 14 Jun 2016 di tempat sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda hingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan dan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri setiap sebulan sekali di Pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam Arafas Abdul Razak.

Mahkamah menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here